Sunday, March 14, 2010

buat tatapan anak-anak yg dikasihi


secebis nasihat buat anak yang dikasihi

Cinta menurut al-Qadhi al-Syeikh Muhammad Ahmad Kan’an di dalam kitabnya Usul al-Muasyarah al-Zaujiyah ialah kecenderungan hati terhadap perkara yang dicintai. Cinta sebenarnya adalah perbuatan dan amalan hati. Bukan amalan anggota badan.

Tanpa cinta ini maka perkahwinan tidak akan berjaya dan bahagia. Perlu difahami dengan baik, yang memberikan kebahagian dan ketenangan bukanlah zat cinta itu sendiri, bahkan yang memberikannya kepada kita ialah Pemilik Cinta itu sendiri iaitu Allah Yang Maha Pencinta dan Pengasih. Cuma cinta ini sebagai satu wasilah bagi mencapai ketenangan itu.

Menurut al-Qadhi Muhammad Kan’an lagi, kunci utama kepada cinta bermula dengan pandangan mata. Oleh sebab itulah Baginda sallallahu alaihi wasallam menggalakkan kepada seseorang yang ingin bertunang agar melihat terlebih dahulu kepada tunangnya. Agar bertambah rasa cinta dan rindu.

Diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad dan al-Nasa’ie rahimahumallah daripada Saidina Syukbah radhiyallahu anhu katanya:

خطبت امرأة فقال لي رسول الله صلى الله عليه و سلم: هل نظرتَ إليها ؟ قلتُ : لا , قال : فانظر إليها فإنه أحرى أن يؤدَمَ بينكما


Maksudnya:
Aku telah meminang seorang wanita. Maka Baginda sallallahu alaihi wasallam bertanya kepadaku: Adakah kamu telah melihatnya wahai Syukbah? Aku menjawab: Tidak Ya Rasulallah. Maka sabda Baginda sallallahu alaihi wasallam: Lihatlah padanya, sesungguhnya dengan melihat itu akan menjadikan kamu berdua merasa lebih serasi dan berkenan.

Sesuatu yang perlu kita fahami ialah cinta sebenar adalah cinta yang ingin dibina atas dasar iman. Maksud saya bukan sekadar bercinta tetapi meletakkan bahawa wanita yang dicintainya dan lelaki yang dicintainya akan dijadikannya sebagai isteri dan suami. Sabda Baginda sallallahu alaihi wasallam daripada Saidina Ibn Abbas radhiyallahu anhuma:

لم يُرَ للمتحبَين مثل النكاح


Maksudnya:
Tidaklah dilihat kepada dua orang yang sedang bercinta melainkan pernikahan.

Menjadi kesalahan pada remaja sekarang dengan menggunakan nama cinta seperti yang dilakukan oleh remaja di Barat. Cinta hanya digunakan untuk memuaskan nafsu serakah dan keinginan yang tak terbendung. Ini satu kefahaman yang jelas bertentangan dengan maksud sebenar cinta yang dianjurkan syarak. Cinta yang mereka bina bukan untuk membimbing pasangan menuju redha Allah taala, malah menjerumuskan ke lembah kehinaan dengan dosa dan noda yang mereka lakukan ketika bercinta.

Kesalahfahaman sebeginilah yang menyebabkan seseorang itu menganggap golongan yang berbicara tentang cinta sebagai golongan yang telah lari daripada jalan tuhan. Seolah-olah meraka telah jauh daripada Allah taala dengan membicarakan cinta yang dianggap oleh mereka sebagai sesuatu yang jijik untuk dibicarakan oleh para ulama khususnya.

Cinta merupakan kecenderungan hati seseorang kepada kekasihnya. Amalan hati tidaklah dikira dosa selagi tidak melaksanakan apa yang terpendam di dalam hati. Seseorang itu tidaklah mampu baginya menghalang kecenderungan hatinya terhadap seseorang.

Sebaliknya yang akan dinilai oleh Allah taala adalah perbuatan orang bercinta itu. Jika perbuatan yang mereka lakukan menjurus kepada nafsu dan dosa maka inilah yang akan dinilai dan disoal oleh Allah taala kelak.

Perkara yang paling selamat bagi menyelamatkan cinta sejati daripada dinodai dosa dan noda ialah dengan menjauhkan segala perkara yang boleh menjurus ke arahnya. Perkahwinan adalah satu cara yang terbaik untuk menyemai cinta sebenar yang dikehendaki syarak.

Namun tidaklah saya nafikan wujudnya percintaan sebelum perkahwinan. Oleh sebab itulah syarak meletakkan adanya pertunangan. Tidak lain untuk menyemai cinta dan rasa keserasian antara kedua pasangan tersebut. Batasnya perlu dijaga. Jika tidak dijaga maka inilah yang akan membawa kemudharatan dan kepincangan di dalam memahami maksud cinta itu sendiri.

Saya benar-benar tertarik untuk membicarakan tentang cinta ini setelah membaca sebahagian daripada buku karangan Al-Imam Ibn Hazm al-Andalusi rahimahullah 384H-456H . Kitabnya yang berjudul Thuqul Hamamah fi ilfati wal allaf benar-benar memberikan kesan yang mendalam terhadap saya berkenaan cinta.

Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa al-Imam Ibn Hazm al-Andalusi rahimahullah adalah Guru Besar saya di dalam cinta. Kitab ini ada terjemahannya yang sangat indah bahasa terjemahnya. Ianya diterjemahkan oleh Habiburrahman al-Syirazy , penulis novel Ayat-ayat Cinta.

Saya mencadangkan kepada sesiapa yang ingin mengenal cinta agar membaca buku ini. Sesiapa yang pandai membaca kitab berbahasa Arab sebaiknya terus mendapatkan pemahaman tentang cinta daripada karangan al-Imam Ibn Hazm rahimahullah sendiri.Moga kalian lebih memahami tentang cinta.

Sambungan tentang rindu akan saya bicarakan pada post yang akan datang. Doakan moga diberikan kelapangan oleh Allah taala pemilik cinta yang agung. Wallahu a’lam.




masa yang berlalu meningkatkan usia namun ia pasti tidak akan berpatah balik , sebaliknya semakin jauh ia berlari tanpa menoleh ke belakang, hargailah benar-benar masa itu seperti menghargai sesuatu yang teramat bernilai.




makmal komputer starp

kali pertama belajar buat blog

mari kita mulakan blog baru